INOVASI INDUSTRI KECIL DAN SEDERHANA (IKS) DALAM PEMBUATAN MAKANAN DAN MINUMAN

 


Malaysia merupakan negara yang penuh keunikkan. Selain daripada tempat-tempat menarik, sajian makanan dan minuman di Malaysia turut menyumbang kepada faktor tarikan pelancong ke Malaysia sama ada dalam mahupun luar negara. Oleh yang demikian, industri pembuatan makanan dan minuman di Malaysia harus dititikberatkan. Industri pemprosesan makanan dan minuman di Malaysia merupakan sebahagian daripada industri berasaskan pertanian berikutan tumpuan kerajaan terhadap sektor pertanian negara. Menurut Ayupp dan RabaahTudin (2013) yang memetik laporan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (2012) melaporkan bahawa kerajaan mensasarkan pelaburan dalam industri pemprosesan makanan adalah RM24.6 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia 2006-2020 Perindustrian (IMP3). Berdasarkan laporan Malaysian Investment Development Authority (2013) pula, industri makanan di Malaysia didominasikan oleh Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Menurut Ayupp dan RabaahTudin (2013), persekitaran luaran yang dihadapi oleh IKS pemprosesan makanan dan minuman adalah dari segi kos pengeluaran yang semakin meningkat, perkembangan teknologi, perubahan corak permintaan dan persaingan menyebabkan IKS perlu untuk melakukan inovasi dalam organisasi supaya IKS dapat terus bertahan.

Pada 6 November 2020, Kementerian Kewangan Malaysia telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM510 juta dalam Belanjawan 2021 bagi membantu usahawan-usahawan IKS yang terjejas akibat wabak penularan COVID-19. Peruntukan yang diberikan kerajaan ini seharusnya dijadikan semangat oleh usahawan IKS bagi mengekalkan produktiviti IKS khusunya sektor pembuatan makanan dan minuman. Pelbagai inovasi yang boleh dilakukan dengan adanya peruntukan ini antaranya termasuklah kaedah pendigitalan.

Pandemik COVID-19 sememangnya memberikan kesan kepada ekonomi dan memaksa Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk beroperasi secara talian. Apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu, kebanyakan IKS beralih menggunakan kaedah digital. Walaupun pergerakan agak terbatas dan proses penyampaian bekalan agak perlahan, IKS melaksanakan beberapa langkah operasi terbaru termasuklah menggunakan pendekatan elektronik sebagai platform mempromosikan produk masing-masing serta menyediakan khidmat penghantaran dan pembayaran melalui perbankan internet atau melalui E-Wallet seperti Touch n Go E -Wallet. Antara beberapa buah negeri terawal yang melaksanakan kaedah digital ini termasuklah Selangor, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Walaupun permulaan kaedah ini mungkin agak sukar kepada peniaga tradisional dan peniaga kecil namun IKS terbabit boleh mengguna pakai tiga strategi utama misalnya berfikir besar, bermula kecil dan berskala pantas dengan hasil yang memuaskan. Peruntukan yang diberi kerajaan boleh digunakan oleh usahawan IKS untuk membeli peranti-peranti elektronik termasuklah komputer peribadi, telefon pintar, perkhidmatan internet dan sebagainya. Dengan adanya kemudahan ini, urusan mempromosi serta jual beli berjalan dengan lancer sekaligus meningkatkan hasil jualan mereka.

Peningkatan kapasiti dan keupayaan pengeluaran adalah antara usaha yang sejak dahulu lagi dititikberatkan oleh kerajaan. Antara usaha yang dilakukan adalah mendapatkan kemahiran, teknik dan teknologi yang baru serta cara untuk menggunakan kesemua aspek bagi memperbaiki operasi perniaagan IKS. Pada Mac 2019, Jabatan Pertanian Malaysia telah menganjurkan Program Inovasi Industri Asas Tani: Usahawan dan Mesin Pemprosesan Makanan. Program itu adalah bertujuan untuk memberi pengetahuan kepada usahawan pemprosesan makanan tentang kriteria pemilihan mesin yang bersesuaian dengan perusahaan yang dijalankan. Perkara yang ditegaskan dalam program itu adalah usahawan masa kini khususnya dalam kalangan perusahaan pemprosesan makanan menggunakan teknologi terkini bagi membantu meningkatkan hasil produk mereka. Seiring dengan Revolusi Industri 4.0, usahawan perlu bersedia menerima inovasi industri sebegini. Dengan adanya mesin pemprosesan makanan, penggunaan masa lebih efektif. Selain itu, masalah tenaga kerja yang kurang mahir dapat diatasi dengan adanya mesin. Mesin dapat membantu mengatasi masalah pekerja sekaligus dapat menghasilkan produk yang berkualiti. Dengan ini, permintaan perlanggan pelanggan terhadap produk-produk IKS dapat dipenuhi.

Dalam usaha mewujudkan usahawan yang berdaya maju dan berdaya saing, strategi perlu diatur untuk mentransformasikan usahawan yang berpotensi ke arah amalan pemprosesan yang lebih moden dan menepati segala keperluan pensijilan. Kebiasaannya, saiz kapasiti alatan pemprosesan memberi kesan kepada keupayaan usahawan untuk mengeluarkan produk yang berkualiti dalam kuantiti yang lebih ekonomik.

Dalam dunia serba moden ini, semuanya terletak di hujung jari sahaja. Oleh itu, usahwan IKS seharusnya tidak ketinggalan untuk mengambil peluang kemudahan teknologi bagi tujuan pemasaran produk mereka. Contohnya, membina laman sesawang berkaitan produk yang dihasilkan selain daripada mempromosikannya di media sosial. Oleh itu, khidmat pakar IT diperlukan bagi membina laman sesawang tersebut. Namun, caj perkhidmatan tidaklah semahal seperti pengiklanan produk di televisyen. Pemasaran menerusi laman sesawang ini seharusnya disertakan sejarah perusahaan tersebut serta lokasi kilang-kilang yang beroperasi agar pelanggan lebih yakin untuk membeli. Selain itu, senaraikan semua produk yang dihasilkan berserta dengan cara pemprosesan produk tersebut khususnya kandungan bahan mentah agar tidak menjadi isu bagi pengguna muslim. Dengan adanya laman sesawang ini, pelanggan dapat mengetahui kewujudan produk yang berkaitan serta senang untuk mereka membuat pilihan untuk membeli produk tersebut.

Usahawan pemprosesan makanan pada masa kini perlulah berani berubah dan menggunankan kemudahan teknologi yang sedia ada bagi menghasilkan produk yang berkualiti tinggi. Usaha inovasi bagi industri pemprosesan makanan dan minuman disokong penuh oleh kerajaan. Oleh itu, usahawan tidak perlulah takut untuk melakukan inovasi terhadap perniagaan masing-masing. Selain itu, usahawan juga perlulah bersedia melabur dalam pembelian mesin dan tidak hanya menunggu dari kerajaan berikutan ekonomi negara kita kurang memberangsangkan khususnya pada musim pandemik ini. Diharapkan agar usahawan pemprosesan makanan dan minuman untuk lebih berdaya saing, berilmu dan berinovasi dalam memajukan perniagaan mereka sekaligus dapat meningkatkan ekonomi negara.


Yeay

Ikuti Kami di Instagram