PEMBANGUNAN PENDIDIKAN DAN KELESTARIAN SUMBER MANUSIA DI FELDA

 

Pelajar-pelajar sedang melakukan aktiviti senamrobik

Pembangunan pendidikan di Federal Land Development Authority (FELDA) adalah selari dan selaras dengan program Pendidikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang berusaha untuk melahirkan sumber manusia negara yang berkebolehan. Pelbagai program tambahan pembelajaran telah dilaksanakan untuk memastikan kejayaan pelajar dalam pelajaran mereka dan seterusnya sebagai jaminan masa depan generasi muda FELDA. Pihak FELDA sendiri telah mengeluarkan peruntukan yang besar untuk membiayai program pendidikan tambahan untuk dilaksanakan di semua sekolah di seluruh tanah rancangan yang dikelolakan oleh FELDA (FELDA 1994 - 2006).

 Sejak pembukaan tanah rancangan FELDA, pelbagai program dan kemudahan Pendidikan telah disediakan khusus untuk anak-anak peneroka. Misalnya sehingga tahun 2006, sebanyak 266 buah sekolah rendah dan 96 buah sekolah menengah telah dibina di tanah rancangan FELDA seluruh negara. Pihak FELDA sendiri turut menubuhkan Biro Pendidikan di bawah Jabatan Pembangunan Masyarakat. Pihak FELDA juga menjalankan pelbagai aktiviti pendidikan untuk meningkatkan kualiti pelajaran anak-anak FELDA supaya dapat melahirkan generasi berilmu, bertanggungjawab dan mampu bersaing. Golongan sasaran program pendidikan FELDA ialah pelajar sekolah dan juga ibu bapa pelajar.

Pembangunan pendidikan FELDA secara umumnya terbahagi kepada empat dimensi; iaitu melalui peruntukan kewangan untuk program pendidikan dan biasiswa; perancangan program di peringkat pusat; perlaksanaan program di sekolah FELDA; dan kerjasama FELDA dengan Kementerian Pelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah, PIBG dan komuniti FELDA.

a.      Peruntukan kewangan. Sebanyak RM5 juta disediakan dengan RM 15 000 setiap FELDA yang disalurkan kepada Gerakan Kesejahteraan Keluarga (GKK). Aktiviti pendidikan dianjurkan (motivasi teknik belajar, bengkel teknik menjawab soalan peperiksaan dan persediaan menghadapi peperiksaan) oleh GKK, guru dan ibu bapa untuk kecemerlangan pelajar. Ibu bapa sendiri diberi sesi penerangan dan perbincangan tentang motivasi diri, membimbing anak-anak belajar, pemakanan, jadual belajar dan lain-lain. Penubuhan Pusat Literasi Keluarga (PLK) oleh FELDA dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertujuan untuk memberi pendedahan awal kanak-kanak berumur 3 – 5 tahun ke arah minat membaca. Sehingga tahun 2006, terdapat 227 PLK di seluruh FELDA.

b.      Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) dibangunkan oleh FELDA, yang menyediakan bangunan, latihan dan gaji guru, peralatan untuk tujuan pra-sekolah. Setiap tanah rancangan mempunyai TABIKA masing-masing yang kini dikelolakan oleh KEMAS (agensi Jabatan Kemajuan Masyarakat), selaras dengan peraturan mewajibkan pendidikan pra-sekolah di Malaysia.

c.      Skim Tuisyen FELDA (STF) disasarkan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PMR dan SPM supaya mereka dapat menguasai pelajaran dan seterusnya bersedia menghadapi peperiksaan ke arah keputusan cemerlang. Sehingga tahun 2006, seramai 158,454 orang pelajar mengikuti kelas tuisyen yang disediakan di tanah rancangan FELDA dengan peruntukan kewangan sebanyak RM42.5 juta.

d.      Asrama Semai Bakti (ASB) dibina dan diuruskan oleh FELDA bagi anak peneroka yang berjaya melanjutkan persekolahan di sekolah terpilih. ASB terdapat di Kelana Jaya, Kuala Lumpur, Trolak dan Johor Bharu. Seramai 7,847 pelajar memanfaatkan kemudahan tempat tinggal ini.

 

 Secara keseluruhannya, prestasi pendidikan di FELDA seluruh negara menunjukkan pencapaian yang agak sederhana dengan sedikit peningkatan dari tahun ke tahun. Misalnya, pencapaian pelajar FELDA bagi penilaian di peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menujukkan kadar lulus yang melebihi 60 peratus antara tahun 2003 dan 2005. Keadaan yang hampir sama turut berlaku di peringkat Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan kadar lulus antara 55 dan 62 peratus. Namun pencapaian pelajar FELDA di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) amat memberangsangkan dengan peratusan yang lulus melebihi 94 peratus (Jadual 1). Walau bagaimanapun, nisbah pelajar cemerlang di semua peringkat peperiksaan amat kecil. Sehubungan itu, bilangan pelajar yang berjaya memasuki sekolah asrama penuh secara relatifnya kecil.

               Bagi pelajar yang mempunyai pencapaian sederhana dan menunjukkan minat dalam jurusan teknikal, mereka berpeluang meneruskan pengajian dalam bidang kemahiran dan separa mahir seperti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan teknikal. Kemahiran teknikal memang diperlukan dalam pasaran pekerjaan sekarang selaras dengan perkembangan ekonomi Malaysia ke arah negara perindustrian. Sehubungan itu, generasi FELDA yang mempunyai kelulusan teknikal turut menawarkan diri untuk bekerja dalam bidang berkaitan di bandar atau kawasan lain di luar tanah rancangan.

               Pelajar yang berpencapaian sederhana yang lain pula menawarkan diri untuk mengisi jawatan dalam sektor perkhidmatan sama ada di sektor awam atau swasta. Mereka juga mengisi pekerjaan di kilang yang berselerak di pelbagai estet perindustrian di seluruh negara. Lokasi mereka bertugas di luar FELDA menyebabkan ramai generasi kedua ini terus menetap di luar FELDA. Golongan pelajar yang agak lemah dalam pelajaran lazimnya merupakan golongan yang rendah pencapaian pendidikannya. Kebanyakan golongan tersebut terus tinggal di FELDA dan bekerja di ladang atau di bandar berhampiran dengan cara berulang alik. Secara keseluruhannya, nisbah generasi kedua yang kekal menetap di tanah rancangan secara relatifnya lebih kecil berbanding golongan yang berhijrah keluar. Keadaan ini mungkin disebabkan fungsi sistem pendidikan yang jelas berorientasikan penyediaan sumber manusia untuk sektor bandar. Dalam hal ini, kajian kes di Felda Bersia cuba meneliti implikasi pembangunan pendidikan kepada generasi keduanya.

Contoh infrastructure pendidikan yang di beri oleh Kerajaan pada pihak FELDA;

Pembinaan sekolah rendah pada warga FELDA

Suasana Pendidikan yang selesa didalam kelas di FELDA




Noor Syahidah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ikuti Kami di Instagram