Felda merupakan sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar. Penubuhan Felda berperanan membantu masyarakat peneroka menjalani kehidupan yang lebih sempurna. Sumbangan Felda menampakkan kejayaan terutama generasi kedua Felda. Kajian kualitatif menunjukkan bahawa terdapat proses perubahan sosial yang berlaku daripada aspek perubahan ekonomi, taraf pekerjaaan dan taraf pendapatan dalam kalangan generasi kedua Felda. Justeru, beberapa cadangan dikemukakan iaitu melihat aspek pembangunan modal insan generasi kedua Felda.
Setiap masyarakat akan mengalami perubahan sosial terutama daripada aspek ekonomi. Ekonomi dan masyarakat menjadi kayu pengukur untuk menilai sama ada sesuau masyarakat itu maju atau mundur. Pembangunan manusia cuba mewujudkan antara hubungan perkembangan pendapatan dengan perkembangan pilihan yang terdiri bukan sahaja dari aspek ekonomi malahan merangkumi aspek pendidikan, kesihatan dan kebebasan politik. Pendekatan ini tidak menolak kepentingan pertumbuhan ekonomi kerana aspek ini penting difokuskan dalam pembasmian kemiskinan. Justeru itu, pertumbuhan ekonomi dianggap sebagai sub-set kepada paradigma pembangunan manusia.
Perubahan sosial secara umumnya dapat diertikan sebagai suatu proses pergerakan atau perubahan struktur di dalam masyarakat yang lebih inovatif, sikap serta kehidupan sosialnya yang lebih baik. Perubahan yang terjadi dalam masyarakat pada dasarnya merupakan suatu proses yang terus-menerus, ini bererti bahawa setiap masyarakat akan mengalami perubahan-perubahan. Perubahan yang terjadi antara masyarakat dengan masyarakat yang lain tidak selalunya sama. Terdapat masyarakat yang mengalami perubahan yang lebih cepat apabila dibandingkan dengan masyarakat yang lain. Perubahan tersebut merupakan perubahan-perubahan yang tidak menonjol atau tidak menampakkan adanya perubahan. Terdapat juga perubahan-perubahan yang prosesnya lambat dan perubahan yang berlangsung dengan cepat.
Perubahan sosial dibahagikan kepada dua tahap iaitu tahap mikro dan makro.Tahap makro ialah perubahan sikap individu, tingkah laku individu dan pola interaksi, Tahap makro pula ialah merujuk kepada bagaimana sesebuah kumpulan yang besar seperti institusi mengalami perubahan. Bahawasanya perubahan dilihat sebagai berterusan iaitu sesuatu yang lebih daripada perbezaan antara dahulu dan kemudian, ini bermakna semua yang berlaku bergantung kepada jangka masa yang tertentu. Masyarakat terpaksa menyesuaikan dirinya dengan kehidupan yang baru atau berusaha untuk mengembalikan keadaannya yang asal bergantung pada masyarakat itu sendiri.
Di Malaysia, Felda ditubuhkan bagi memajukan tanah untuk dijadikan kawasan pertanian yang produktif dan memaksimumkan hasil yang bermutu disamping membangunkan penempatan penduduk yang dilengkapi dengan kemudahan asas dan sosial yang lain. Peneroka diberi tanah seluas sepuluh ekar atau 4.1 hektar untuk ditanam dengan tanamam komoditi dan suku ekar tanah disediakan untuk tapak kediaman. Perubahan sosial yang dilalui dalam kalangan generasi kedua Felda dapat dilihat daripada aspek ekonominya. Berdasarkan pengalaman yang dilalui pada waktu dahulu dan masa kini terdapat perbezaan atau pun tidak. Generasi pertama pada masa itu adalah susah daripada segi ekonomi.
Begitu juga dengan kualiti kehidupan mereka. Berdasarkan masalah yang telah dilalui oleh ibu bapa mereka, adakah terdapat perubahan yang berlaku kepada generasi kedua Felda setelah mereka hidup lebih kurang 30 tahun di Felda. Begitu juga, masalah pekerjaan yang terdapat di kawasan Felda adalah berbeza pada waktu dahulu, sama ada generasi kedua Felda mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding ibu bapa mereka. Generasi kedua Felda mendapat pekerjaan setanding dengan mereka yang tinggal di bandar. Berdasarkan masalah yang dinyatakan ini, maka kajian yang dijalankan ingin melihat sama ada berlakunya perubahan sosial terhadap generasi kedua Felda.
Kerajaan mula sedar bahawa pembahagian ekonomi antara kaum menjadi agenda utama yang perlu ditangani. Bagi membangunkan ekonomi orang Melayu yang jauh ketinggalan berbanding bangsa lain. Melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang secara langsung bagi meningkatkan penguasaan Melayu dalam bidang ekonomi maka Felda sekali lagi menjadi pemangkin utama untuk mewujudkan kestabilan ekonomi masyarakat peneroka dan generasi kedua. Generasi kedua Felda diseluruh negara perlu menceburi industri berasaskan hasil pertanian yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi mereka dan ia untuk mengelak mereka daripada tidak lagi bergantung kepada usaha menanam kelapa sawit dan getah yang telah dilakukan generasi sebelumnya. Perubahan sosial amat penting kepada sesebuah masyarakat. Carian ini telah menggariskan definisi dan konsep tentang perubahan sosial generasi kedua Felda daripada aspek eonomi di negara kita. Justeru kita dapat melihat sejauh mana perubahan sosial di kalangan generasi kedua Felda daripada aspek ekonomi untuk melihat perubahan sosial yang berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan