PELBAGAIKAN TANAH FELDA DEMI KELANGSUNGAN HIDUP PENEROKA

 PELBAGAIKAN TANAH FELDA DEMI KELANGSUNGAN HIDUP PENEROKA



PENDAPATAN ALTERNATIF

    Pengerusi Biro Pertanian dan Asas Tani Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF) Kebangsaan Datuk Muhamad Asri Haris berkata pendapatan peneroka paling teruk terjejas ketika proses penanaman semula. Pada masa itu, semua pokok perlu ditebang kerana sudah mencapai usia tua dan penanaman semula pula mengambil masa kira-kira empat tahun sebelum peneroka boleh mula menuai hasil. Bagi peneroka yang tidak mempunyai sumber pendapatan alternatif, mereka terpaksa bergantung kepada Bayaran Sara Hidup yang merupakan pinjaman pihak FELDA kepada peneroka. Oleh itu, peneroka digalakkan untuk menjana pendapatan baharu melalui penglibatan dalam aktiviti alternatif serta mengenal pasti program tanaman gantian dan ternakan yang mampu memberi hasil tuaian dalam tempoh singkat seperti yang dinyatakan dalam dokumen Kertas Putih Felda.



AKTIVITI TANAMAN DAN TERNAKAN

    Beberapa tanah rancangan mula menjalankan aktiviti tanaman dan ternakan alternatif di bawah kelolaan KAF antaranya tanaman nanas Milie Dilard 2 (MD2) di FELDA Lenga (Johor) dimana seramai 120 peneroka bersama-sama mengusahakan tanah seluas 162 hektar untuk penanaman nanas bagi pasaran tempatan dan eksport ke Timur Tengah. Setiap ekar tanah ditanam dengan 14,500 pokok nanas. Selain itu, nanas MD2 ini juga ditanam di sekitar FELDA di negeri Kelantan bagi menambah pendapatan peneroka sementara menunggu proses tanam semula kelapa sawit. Pihak FELDA telah mengenal pasti tanaman yang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh yang cepat iaitu tidak sampai setahun dan nanas adalah yang terbaik. Selain daripada nanas, penanaman buah tin secara komersil turut dilaksanakan di Felda Sungai Tengi Selatan. Menerusi sistem fertigasi pintar, aktiviti penyiraman dan pembajaan kini lebih mudah memberi hasil buah lebih banyak sekaligus membawa pulangan lumayan kepada peneroka. Sementara itu, seramai 50 peneroka dari Felda Behrang, Felda Soeharto, Felda Sungai Tengi, Felda Laka Selatan di Perak dan Felda Aping Barat (Johor) kini mengusahakan ternakan arnab. Bagi penternakan lembu pula, seramai 10 peneroka dari Felda Semencu (Johor), Felda Lok Heng (Johor), Felda Chemomoi (Pahang) dan Felda Ciku 1 (Kelantan) menternak kira-kira 300 ekor lembu dalam kawasan seluas 158 hektar.







DIVERSIFIKASI TANAH FELDA

    Menurut Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia Profesor Dr Abdul Shukor Juraimi, kawasan Felda sememangnya berpotensi besar untuk dibangunkan dengan aktiviti tanaman dan ternakan sampingan dimana aktiviti tersebut boleh disesuaikan mengikut lokasi dan usia sesebuah ladang. Ladang yang berusia lebih daripada 5 tahun sesuai digunakan untuk aktiviti ternakan lembu dan kambing kerana pohon sawit sudah besar dan pelepah antara pokok yang mudah bercantum memberi suasana redup pada permukaan tanah. Hasil ternakan itu juga mudah dipasarkan khususnya semasa musim korban Aidliladha. Bagi ladang yang baru ditanam semula, tembikai, pisang dan betik adalah antara tanaman yang sesuai diusahakan. Tanaman boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu tanaman biasa dan tanaman bernilai tinggi seperti vanila, nanas dan rock melon. Pendek kata apabila disebut sahaja FELDA, masyarakat tidak lagi semata-mata membayangkan ladang kelapa sawit dan tanah rancangan, malah lebih daripada itu.





FELDA KOTA GELANGGI 4

Tiada ulasan:

Ikuti Kami di Instagram