LANGKAH
MENDORONG PEMBANGUNAN IKS DI TANAH RANCANGAN FELDA.
Langkah-langkah
untuk mendorong dan membangunkan IKS di tanah rancangan FELDA
Dalam usaha untuk
meningkatkan lagi status dan kemampuan IKS untuk bersaing dengan
industri-industri yang lebih besar. IKS juga boleh mengaplikasikan teknologi
maklumat dalam perniagaan mereka. Sebagaimana yang kita telah ketahui,
penggunaan teknologi maklumat telah lama dipraktikkan di negara-negara maju
seperti di Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara Eropah yang lain. Oleh
yang demikian, sudah sampai masanya untuk pengusaha-pengusaha tempatan
mengaplikasikan teknologi maklumat dalam perniagaan mereka dalam usaha untuk
meningkatkan daya saing dan keberkesanan dalam pengurusan. Dengan teknologi
maklumat, IKS dapat mengakses maklumat dari semasa ke semasa berkaitan dengan
perniagaan dengan lebih meluas. Maklumat yang telah diakses tersebut sedikit
sebanyak dapat membantu IKS untuk menghadapi persaingan dengan
industri-industri lain yang berkembang bak cendawan tumbuh selepas hujan. IKS
juga dapat menggunakan kelebihan yang ada untuk mendapatkan peluang-peluang
perniagaan yang lebih besar serta untuk mendapatkan potensi perniagaan yang
lebih baik. Disamping itu, idea-idea yang lebih kreatif boleh dicetuskan supaya
kaedah atau cara yang lebih baru boleh digunakan untuk memperbaiki operasi
perniagaan selain dapat menambah baik proses keseluruhan melalui penggunaan
kaedah khusus untuk sistem dan proses perniagaan yang lebih cekap.
Selain itu, IKS juga boleh memanafaatkan
penggunaan internet dalam perniagaan mereka kerana dengan menggunakan internet
sebagai medium perniagaan, IKS mampu meluaskan pasaran ke serata dunia dalam
masa yang sama dapat mengurangkan kos promosi dan pengiklanan. Ini kerana
penggunaan internet banyak menyumbang kepada kejayaan IKS di mana kemampuan
internet untuk melangkaui batas-batas sempadan politik dan geografi tanpa
sebarang halangan dalam masa yang begitu singkat. Internet sememangnya memberi
kebaikan kepada pengguna, organisasi dan masyarakat. Dengan pelaburan yang
rendah, IKS dapat mempromosikan produk keluaran kepada pengguna di seluruh
dunia. Malah, perbelanjaan percetakan untuk tujuan promosi dan pengiklanan juga
dapat dielakkan sama ada di dalam surat khabar, katalog atau majalah di mana ia
memerlukan kos yang agak tinggi.
Bukan itu sahaja,kandungan iklan
dapat direka mengikut citarasa sendiri dan penerangan mengenai produk boleh
dibuat dengan lebih terperinci. Dengan penggunaan teknologi, pengusaha IKS
boleh berhubung dengan pelanggan dengan lebih dekat lagi tanpa perlu bersemuka
dimana pelanggan bukan sahaja boleh membuat tempahan, malah boleh membantu IKS
dalam menaikkan lagi prestasi perniagaan disamping dapat menyumbang kepada
ekonomi negara. Dalam usaha untuk mempromosikan produk, pengusaha IKS juga
boleh menggunakan laman sosial seperti facebook, instagram dan sebagainya untuk
menarik lebih ramai lagi pelanggan baru dan mengekalkan pelanggan yang lama. Penggunaan
laman web juga penting untuk tujuan pemasaran dan mempromosikan produk dan
perkhidmatan IKS. Laman web merupakan saluran terbaik bagi memasarkan produk
dan perkhidmatan dengan kos yang minimum. Perkhidmatan laman web menjadi satu
keperluan bagi membantu perusahaan IKS yang mungkin tidak diketahui oleh
pelanggan tentang kewujudannya di pasaran untuk lebih dikenali bukan sahaja
dalam pasaran tempatan malah dalam pasaran antarabangsa juga.
Dengan menggunakan laman web,
organisasi tidak perlu mempunyai saiz firma yang besar bagi meyakinkan pengguna
tentang kewujudan organisasi dalam pasaran malah dengan adanya rangkaian
perkhidmatan dalam talian yang kukuh dan berkesan sudah cukup untuk meyakinkan
pengguna. Ini kerana, saiz firma yang besar tidak menjamin kepada pengguna
bahawa keadaan syarikat adalah kukuh. Berbeza dengan kaedah tradisional,
maklumbalas dari pelanggan adalah lambat serta memakan masa yang lama dan
kadang-kadang sukar untuk diketahui. Dengan teknologi, maklumbalas dapat
diterima dengan cepat melalui e-mail atau ruangan maklumbalas yang disediakan
oleh pengusaha dalam perkhidmatan laman web mereka. Pelanggan boleh
mengemukakan idea dan komen dalam ruangan atau e-mail yang disediakan oleh
pengusaha dalam laman web. Ini membolehkan pengusaha IKS sentiasa peka dengan
kehendak dan permintaan pasaran dari semasa ke semasa dan membolehkan
perusahaan mengeluarkan serta menghasilkan produk atau perkhidmatan mengikut
citarasa pengguna.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa
penggunaan teknologi banyak mempengaruhi kejayaan IKS dan sememangnya memberi
perubahan yang besar kepada produktiviti IKS. Oleh yang demikian, pelbagai
langkah perlu diperkenalkan untuk membantu IKS memodenkan operasi dan
mengurangkan kos pengeluaran. Antara yang boleh dipertingkatkan ialah intensif
yang menggalakkan pengusaha IKS terutamanya di tanah rancangan FELDA beralih
daripada cara tradisional kepada teknologi moden. Pengusaha IKS di tanah
rancangan FELDA juga perlu didedahkan dengan bidang teknologi moden supaya
perusahaan mereka dapat diperbesarkan dan produk-produk yang dihasilkan boleh
dipasarkan sehingga ke luar negara. Ke arah itu juga, persekitaran yang lebih
kondusif bagi pengusaha IKS membangunkan jenama masing-masing perlulah
disediakan.
Penutup
Secara
keseluruhanya terdapat banyak pertumbuhan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam
Tanah rancangan FELDA yang telah membantu masyarakat dan negara kita. Sebagai
rakyat Malaysia kita tidak seharusnya membiarkan peluang ini berlalu begitu
sahaja. Kita perlu gigih meningkatkan kualiti IKS terutama dalam tanah
rancangan FELDA kerana industri ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada
barangan keluaran tempatan yang berperanan meningkatkan imej negara di mata
dunia. Apabila masyarakat sama ada di dalam atau di luar negara menggunakan
sahaja barangan IKS, maka secara tidak langsung jati diri negara telah
terserlah. Oleh hal yang demikian, semua pihak iaitu pihak kerajaan,
swasta, masyarakat serta individu perlulah bekerjasama untuk meningkatkan
industri ini.
Sumber: Berita Harian

Tiada ulasan:
Catat Ulasan