MASA DEPAN DAN KELANSUNGAN FELDA

 

   


Bagaimana untuk mengurangkan kebergantungan yang keterlaluan terhadap Kerajaan? Apatah lagi setelah lebih dari 60 tahun, pendapatan peneroka masih kekal rendah, terbelenggu dengan hutang dan kebanyakan generasi kedua dan ketiga terus berada dalam klasifikasi B40. Jika dahulu peneroka FELDA kaya raya dan bebas hutang tetapi entiti yang pernah gah di mata dunia terpaksa bergantung kepada kerajaan untuk menyara diri sendiri. Jika kita meneliti organisasi FELDA yang asal, ia tidak ubah seperti sebuah 'koperasi' besar. Anggota koperasi besar ini terdiri daripada peneroka FELDA. Tidak hairanlah model FELDA ini menjadi contoh pada peringkat dunia dan mendapat pengiktirafan daripada pelbagai institusi antarabangsa. Namun lama-kelamaan, kegemilangan institusi FELDA semakin pudar. Keadaan menjadi lebih sulit apabila pengarah besar serta ramai pengurusan kanannya kini terdiri orang luar yang membawa FELDA ke arah hala tuju baharu yang lebih condong kepada pendekatan komersial dan korporat. Model perniagaan lama FELDA sudah tidak boleh diguna pakai lagi kerana senario sekarang jauh berbeza. Oleh itu, model baharu yang lebih sesuai dan lestari perlu dibina untuk FELDA. Dengan adanya model perniagaan yang dikemaskini dan lestari, ia sudah pasti dapat membetulkan prestasi dan imej FELDA yang menurun seperti kebergantungan yang kritikal kepada kerajaan, ketiadaan daya tahan terhadap naik turun pasaran komoditi dunia dan daya rintang yang lemah terhadap faktor-faktor luar kawalan seperti bencana alam, wabak penyakit dan perubahan iklim.


Perhatian dan fokus mesti diberikan kepada ikhtiar mewujudkan satu pelan khusus berhubung pendekatan pembangunan sosial dan kesejahteraan hidup secara keseluruhan. Antara contoh yang boleh dirujuk dan diperkemaskinikan adalah inisiatif Kerajaan Negeri Johor sebelum ini di bawah Dato Seri Khaled Nordin yang telah memulakan beberapa perkara. Antaranya pembiayaan penyelenggaraan sekolah-sekolah agama di seluruh FELDA, peruntukan di bawah Tabung Latihan Kemahiran Johor untuk tujuan latihan anak muda FELDA dan cadangan jawatankuasa khas bagi menyelesaikan isu pewarisan tanah. Bangunkan generasi penerus FELDA supaya menjadi bakat terbaik, mandiri dan berkompetensi tinggi untuk terus kekal bergiat dalam industri pertanian, makanan dan tenaga masa hadapan. Kita mesti merancang strategi untuk generasi ini supaya mereka mempunyai kemahiran yang lebih unggul dan tidak meninggalkan FELDA. Hal ini kerana penghijrahan mereka akan menjadikan FELDA sebagai daerah desa dan kawasan pedalaman yang tidak berdaya ekonomi.

 

Kita sebenarnya memerlukan strategi baharu untuk menjadikan FELDA sebagai nadi luar bandar yang bernilai tinggi. Menggunakan FELDA untuk merancakkan pembangunan dan rejuvenasi luar bandar Malaysia. Kawasan luar bandar Malaysia selalu terpinggir dalam pemacuan ekonomi negara. Kita lebih ghairah dengan label ‘gig ekonomi’ dan pelbagai lagi label ekonomi yang tiada asas yang kukuh berbanding meneroka bagaimana aset strategik kita di luar bandar boleh dibangunkan dalam konteks ‘sustainable and modernised rural economy’. Dan ia mesti digerakkan oleh anak-anak FELDA sendiri. Barangkali sudah tiba masanya untuk kita mengkaji selidik sejauh manakah anak-anak muda dan generasi baharu FELDA yang masih berminat untuk kekal di FELDA dan membangunkannya.

 

Pengurusan FELDA dan warganya memerlukan perubahan mentaliti dan budaya kerja iaitu harus menjadi lebih mahir dalam menguruskan urusan jual beli dan berani mengambil risiko untuk meneroka peluang baharu. Sektor perladangan seharusnya menjadi sektor yang lumayan dan stabil. Membangunkan generasi penerus FELDA supaya menjadi bakat terbaik, mandiri dan berkompetensi tinggi untuk terus kekal bergiat dalam industri pertanian, makanan dan tenaga masa hadapan. Kita mesti merancangkan strategi untuk generasi ini supaya mereka mempunyai kemahiran yang lebih unggul dan tidak meninggalkan FELDA. Hal ini kerana penghijrahan mereka akan menjadikan FELDA sebagai daerah desa dan kawasan pedalaman yang tidak berdaya ekonomi. Tetapi, mentaliti dan budaya kerja yang betul mesti dibangunkan agar ia tidak dilihat sebagai sekadar tanaman sara diri untuk memberikan hasil yang mininum sahaja.


Kesemua ini bukan isu baru, juga bukan sekadar isu lama. Tetapi isu yang semakin meruncing dan menuntut fokus dan perhatian khas daripada Kerajaan, FELDA, pemimpin-pemimpin Melayu, pakar ekonomi dan semua pihak berkenaan yang lain. FELDA bukan sekadar tanah perladangan, FELDA adalah legasi besar dalam sejarah dan perkembangan sosial negara kita. Ia mesti dipertahan dan dibantu dengan selayaknya.

Yeay

Tiada ulasan:

Ikuti Kami di Instagram